SETIU – Harapan menggunung enam pekebun kelapa sawit untuk mendapat untung pada November ini berkecai apabila tanaman mereka musnah hingga rugi RM70,000 selepas diserang sekumpulan gajah liar di Kampung Seri Bayas di sini.
Serangan sejak minggu lalu itu mengakibatkan mereka berputih mata apabila 115 batang pokok sawit dijadualkan untuk dituai enam bulan lagi musnah sekelip mata.
Salah seorang pekebun, Wan Jusoh Wan Abdullah, 72, berkata, kumpulan gajah tersebut memasuki kawasan kebun kami dari hutan berhampiran.
“Haiwan liar itu telah merosakkan pokok-pokok kepala sawit kami untuk mengambil umbutnya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Wan Jusoh, sebelum ini dia dan rakan pengusaha kebun kelapa sawit telah mengambil inisiatif menyalakan unggun api dan membakar tayar bagi menakutkan haiwan liar itu, namun gagal.
Seorang lagi pekebun, Ahmad Shazril Hisyam Mohamad, 32, pula berkata, hampir 780 anak pokok kelapa sawit yang ditanamnya sejak tahun 2020 musnah dirosakkan gajah terbabit.
“Setakat ini, sudah 21 kali kebun kelapa sawit dicerobohi gajah liar sejak tiga tahun lalu.
“Kecewa sangat kerana sudah banyak wang dilabur dan tenaga dicurah selama ini. Harap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengatasi masalah ini segera,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kerja-kerja untuk menangkap sekumpulan gajah tersebut sedang giat dilakukan.
“Sebaik berjaya ditangkap, haiwan liar itu akan dipindahkan ke habitat asal dengan segera,” katanya.