ISKANDAR PUTERI – Pasangan kekasih dan seorang rakan mereka ditahan pada Sabtu lalu selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Taman Bukit Indah di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa, tukang masak berusia 29 tahun di Singapura membuat laporan selepas ibunya memaklumkan rumahnya di Taman Bukit Indah, di sini dimasuki penjenayah pada 2 Mei lalu.
Beliau berkata, mangsa pulang ke rumahnya pada keesokan hari dan mendapati pintu pagar hadapan terbuka dan kunci mangga tiada.
“Bertindak atas maklumat, pihaknya membuat dua serbuan di Tampoi dan Larkin, kelmarin dan menahan kesemua suspek.
“Soal siasat ke atas suspek berusia 29 hingga 36 tahun itu, polis merampas tiga buah kereta dan pelbagai barangan berharga lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Turut dirampas tiga unit telefon bimbit, tabung duit, tujuh utas jam tangan, tiga buah beg, tiga topeng muka dan kepala, sarung tangan, barangan kemas dan komputer riba.
Peralatan yang dirampas itu dipercayai digunakan untuk pecah rumah. Kesemua rampasan termasuk tiga kereta yang dirampas bernilai RM300,000.
Beliau berkata, suspek menyasarkan kediaman tidak berpenghuni dan mempunyai kenderaan dalam pagar rumah. Mereka menggunakan kunci dan peralatan yang diubah suai untuk membuka mangga.
“Kenderaan yang dicuri itu akan dijual jika terdapat permintaan,” tambahnya. Semakan mendapati dua daripada tiga kereta yang dirampas hilang ketika rumah mangsa dipecah masuk.
“Pasangan kekasih berusia 29 dan 31 tahun positif dadah dan memiliki rekod jenayah. Seorang lagi suspek mempunyai 10 rekod jenayah dan dadah,” katanya.-KOSMO! ONLINE