PUTRAJAYA- Penentuan Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat turut memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan secara lebih baik.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kenaikan OPR yang diumumkan BNM sebelum ini secara tidak langsung memaksa Kerajaan Perpaduan untuk berbelanja dengan baik ekoran kos berhutang yang tinggi.
“Kalau orang politik ada kebebasan penuh tentukan OPR, jadi mudah untuk membuat pinjaman wang, lepas itu kerajaan pinjam duit kerana kosnya rendah.
“Sebab itu, BNM ada tanggungjawab itu untuk lihat unjuran bekalan wang dan juga dasar mata wang kita untuk tempoh lebih panjang.
“Kalau OPR naik, ia secara tidak langsung akan paksa kerajaan kerajaan untuk belanja dengan baik kerana kos berhutang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Ekonomi di sini tadi.
Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Susulan itu, Rafizi berkata, BNM perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam mengawal inflasi sekali gus mengurangkan tekanan kepada bank itu untuk menaikkan OPR pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, Rafizi menjelaskan, kerajaan juga berjaya membantu BNM untuk mengurangkan tekanan kenaikan OPR dalam tempoh enam bulan pertama selepas memimpin Putrajaya kerana inflasi kekal turun setiap bulan.
“Jadi, saya berpandangan, kadar inflasi terkawal dan walaupun OPR naik kali ini, tetapi saya lebih berpendapat lebih kepada maklum balas kepada kemungkinan Rizab Persekutuan di Amerika Syarikat (AS) akan naikkan OPR.
“Ia juga bukan soal inflasi semata-mata, tetapi juga berkaitan kemasukan wang ke negara ini kerana bila jurang OPR kita dengan AS berbanding negara serantau, jurang kita lebih besar antara dua peratus lebih,” jelasnya.
Katanya, sekiranya AS menaikkan kadar mereka dalam masa terdekat dan perkara itu tidak ditangani dengan baik, ia akan menyebabkan pelaburan dana atau portfolio pelaburan keliar dari Malaysia ke negara lain. – KOSMO! ONLINE