KAJANG – Dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditemukan dalam sebuah bagasi di gaung berketinggian 27 meter di Hulu Langat di sini bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu pemandu e-hailing, J. Devan, 41, dan penganggur, S. Hariharan, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.
Pengakuan tidak direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah membunuh Mohamed Usman Chan Bacha, 41, di tepi jalan Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat, di sini antara pukul 12.45 tengahari, pada 26 April dan 6.40 petang, pad 28 April lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukaka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim. Devan diwakili peguam Kenny Tan Cheng Yee manakala Hariharan tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kontraktor merancang komplot bunuh ahli perniagaan yang juga pemilik rangkaian klinik swasta di Kajang, baru-baru ini.
Lelaki berusia lewat 30-an itu bukan sahaja memeras ugut wang RM228,000 malah turut bersubahat dengan empat individu lain untuk menamatkan riwayat mangsa pada 26 April lalu.
Komplot membunuh lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai bagi mendapatkan wang membiayai kos perundangan berkaitan kes dadah yang dihadapinya.
Helah itu bagaimanapun terbongkar menerusi penahanan lima suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Ampang, kira-kira pukul 4 petang, 27 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang menemui suspek utama di sebuah restoran di Semenyih, kira-kira pukul 11 pagi hari kejadian sebelum diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.
Rententan itu, kata beliau, polis kemudiannya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan rakan serumah mangsa berusia 36 tahun dan ahli keluarga mangsa. – KOSMO! ONLINE