SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru doktor, pakar-pakar perubatan serta petugas kesihatan lain untuk terus mencurah bakti dan kekal berkhidmat di hospital kerajaan demi menabur jasa kepada rakyat.
Sultan Sharafuddin bertitah, hanya di hospital kerajaan sahajalah rakyat dapat memperolehi rawatan dan kepakaran yang berkesan serta lebih murah.
“Beta juga berkenan supaya para doktor dan pakar-pakar perubatan serta petugas kesihatan lain supaya terus mencurah bakti dan terus berkhidmat di hospital kerajaan demi menabur jasa kepada rakyat jelata.
“Kepakaran doktor amatlah perlu di hospital awam bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat secara menyeluruh. Justeru, Beta menasihatkan para doktor dan petugas kesihatan yang lain supaya mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan bersikap profesional.
“Pada masa sama, kerajaan haruslah menjaga kebajikan para doktor dan petugas kesihatan dengan memberi pengiktirafan sewajarnya. Ianya tidak seharusnya dijadikan isu dipolitikkan yang akhirnya merugikan semua pihak,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan keprihatinan baginda terhadap tugas kerja seorang doktor serta barisan petugas kesihatan yang disifatkan mencabar.
“Beta menyedari bahawa tugas seorang doktor di hospital adalah amat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi apabila memberi rawatan kepada pesakit.
“Beta berkenan para petugas kesihatan di Hospital Sultan Idris Shah memberi perkhidmatan yang terbaik dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab serta banyak bersabar untuk menangani kehendak pesakit,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE