SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah, di sini hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Hospital itu yang dibangunkan dengan peruntukan lebih RM771 juta, mula beroperasi pada Mei 2005 yang merupakan hospital pakar major dan pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah serta dikenali sebagai ‘National Tertiary Cardiac Referral Centre’.
Baginda bertitah, kesihatan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi perhatian utama selain menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan kerana sudi menamakan Hospital Sultan Idris Shah Serdang ini atas nama baginda.
“Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kerajaan yang sudi menamakan Hospital ini atas nama Beta. Sesungguhnya, kesihatan dan kebajikan rakyat sangat dekat di hati dan sentiasa dalam perhatian Beta.
“Beta dimaklumkan bahawa Hospital Sultan Idris Shah mempunyai kerjasama strategik dengan Falkulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.
“Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan juga kepada fasiliti-fasiliti dan meliputi perkhidmatan bidang kepakaran lain.
“Dengan cara ini, doktor dan jururawat yang terlatih akan dapat mengamalkan perawatan pesakit yang selamat dan mempunyai etika kerja yang profesional,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE