PEMAIN perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia memiliki masa lebih kurang dua bulan sahaja lagi mempersiapkan diri menjelang tiga kejohanan penting di Thailand Januari depan.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan menganjurkan dua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 serta Jelajah Dunia Final yang berlangsung di Bangkok bermula 12 hingga 31 Januari.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan mengakui Zii Jia bakal menyertai sirkit Asia itu nanti memandangkan ramai pemain terbaik akan turut serta.
“Sirkit Asia itu nanti mengandungi kejohanan-kejohanan bertaraf Super 1000 dan sudah pasti akan disertai oleh pemain-pemain terbaik dunia, lebih-lebih lagi Terbuka Denmark sudah dilangsungkan sebelum ini.
“Selain Zii Jia, mungkin (Liew) Daren juga akan menyertainya, namun dia mungkin tengok keadaan terlebih dahulu. Sekiranya ramai pergi, dia akan ikut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, beliau juga percaya Zii Jia mungkin memerlukan masa untuk kembali mendapatkan rentak permainan memandangkan pemain No. 10 dunia itu sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, Hendrawan yang juga bekas juara dunia percaya Zii Jia masih ada masa untuk memperkemaskan permainannya sebelum berangkat ke Thailand.
“Dia (Zii Jia) masih muda, jadi mungkin perlukan masa untuk dapatkan balik permainan sebenar. Kita semua berada dalam situasi cukup sukar yang tidak pernah dialami sebelum ini.
“Sebenarnya masa sudah tidak banyak sebelum kejohanan-kejohanan itu tetapi kita akan lakukan latihan seperti biasa serta menonton beberapa video bagi meningkatkan teknik permainan,” tambah beliau.