PETALING JAYA – Selebriti popular Neelofa mengakui rindu untuk menjelajah atau mengelilingi dunia seperti ketika zaman muda mudinya.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor bagaimanapun memaklumkan, dia sedar akan tanggungjawabnya sekarang sebagai seorang isteri dan ibu yang memerlukan komitmen tidak berbelah bahagi.
Kini sarat hamil anak kedua, bekas pengacara program hiburan MeleTOP itu berkata, memiliki anak kecil sedikit sebanyak memberi limitasi atau leceh buat dirinya menjelajah atau melancong ke negara luar.
“Fikir pasal travel (menjelajah dunia), sakit kepala sebab tak nak tinggal anak, nak kena hantar anak dekat orang lain jaga.
“Jadi, tunggu dah besar sikit baru nak travel sama- sama. Daripada sakit kepala, fikir macam-macam. lebih baik tak perlu (buat masa sekarang),” katanya menerusi siaran live dalam media sosialnya.
Kata selebriti kelahiran Pasir Mas Kelantan itu lagi, dia kini hanya mahu memberi fokus membina sebuah keluarga besar.
“Dulu pun dah travel merata tempat. Jadi kita berehat seketika. Buat anak, besarkan anak dan nanti kita travel cari alternatif berbeza dengan keluarga.
“Kalau semua benda pun nak dapat benda yang sama, habislah dik,” katanya seraya meleraikan tawa.
Neelofa, 34, berkahwin dengan Haris Ismail, 27, pada 27 Mac 2021 dan hasil perkongsian hidup, wanita itu kini bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Anak sulung, Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari 2022 kini berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE