SIBU – Seorang pekerja Sarawak Energy meninggal dunia selepas berendam dalam air sungai disebabkan kepanasan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu pukul 3.15 petang semalam.
Berdasarkan maklumat, terdapat seorang lelaki pengsan di dalam hutan Jalan Paradom/ Tanjung Genting Bintangor.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 52 tahun bersama beberapa rakan sekerja bertugas menyelenggara pencawang elektrik di kawasan kejadian.
“Menurut saksi, ketika kejadian, cuaca panas terik dan mangsa masuk berendam ke dalam sungai berhampiran pencawang elektrik.
“Apabila keluar sungai, mangsa mengadu seperti mahu pitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 4.59 petang oleh paramedik dari Hospital Sibu. Mayatnya dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.- KOSMO! ONLINE