fbpx

Phillips kini bintang baharu Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PHILLIPS dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas cemerlang membantu Liverpool mencatat kemenangan ke atas West Ham di Anfield awal pagi semalam. – AFP

LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menghamburkan pujian terhadap prestasi cemerlang yang dipamerkan Nathaniel Phillips selepas berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik mengemudi benteng pertahanan pasukan itu.

Bek tengah berusia 23 tahun itu bergandingan baik dengan Joe Gomez di bahagian pertahanan tengah The Reds untuk menewaskan West Ham United 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi semalam.

Klopp, 53, mengakui, beliau gembira dengan peranan ditunjukkan Phillips sepanjang perlawanan itu.

Phillips juga dilihat beraksi dengan cukup tenang mengawal benteng pertahanan walaupun itu adalah perlawanan pertamanya bersama skuad senior Liverpool dalam saingan EPL.

“Dia (Phillips) seorang pemain yang hebat dan bijak. Saya tak kisah kalau dia tidak sehebat (Lionel) Messi asalkan dapat menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan baik.

“Saya percaya dia sedikit gugup hari ini (semalam) kerana bermain buat kali pertama bersama pasukan senior. Namun, dia masih tenang mengendalikan benteng pertahanan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, The Reds memperoleh dua gol menerusi Mohamed Salah dan Diogo Jota, manakala jaringan tunggal West Ham dijaringkan Pablo Fornals.

“Kami menampilkan aksi yang cukup baik walaupun tidak ba­nyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Secara ke­seluruhan, saya gembira dengan pres­tasi semua pemain,” jelas Klopp. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI