KOTA BHARU – Bagaikan berada di bawah limpahan ‘hujan emas’.
Begitulah pengalaman dirasai penduduk di sini apabila beberapa batang pokok angsana yang terletak di Jalan Padang Garong di sini meluruhkan bunganya sejak minggu lalu.
Ramai yang teruja dengan situasi itu tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video, seolah-olah berada di luar negara.
Seorang pengunjung, Azli Shafie berkata, dia pertama kali merasai pengalaman itu dan secara kebetulan singgah di kawasan itu selepas keluar membeli-belah dengan keluarganya di sebuah pasar raya.
“Teruja dan sangat cantik. Anak-anak saya, Amara Zafirah, 8, dan Aira Zhalika, 6, tidak melepaskan peluang merakam gambar pemandangan sekitar.
“Cantik seperti berada di bawah ‘hujan emas’, begitulah pengalaman yang dirasai ketika berada di kawasan ini,” katanya.
Seorang pekerja kafe hipster, Muhammad Syahmi Asyraf Mokhtar, 22, berkata, kafe tempat dia bekerja terletak bersebelahan pokok angsana itu dan ia turut menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang untuk meminum kopi.
“Ramai pengunjung kafe turut mengambil peluang bergambar di luar kafe, merasai suasana ‘musim luruh’ seperti di luar negara.
“Selepas selesai bergambar, pengunjung akan singgah untuk minum di kafe. Bunga angsana ini seakan-akan membawa rezeki kepada kafe,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Shaibah Elias, 28, berkata, dia mengetahui mengenai keindahan di kawasan itu selepas melihat video yang ditularkan melalui media sosial TikTok.
“Saya mengambil kesempatan singgah di sini dengan membawa anak dan ibu untuk merakamkan gambar kenangan.
“Selain itu, saya ingin merasai pengalaman melihat sendiri suasana ‘musim luruh’ di negeri Kelantan,” katanya.