KUALA SELANGOR – Polis sedang mengesan dua penunggang motosikal yang tular melakukan aksi ‘wheelie’ di jalan raya sekitar daerah ini.
Selain itu, seorang daripada individu berkenaan turut berdiri di atas motosikal dengan sebelah kakinya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, perkara itu dikesan menerusi rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan dua individu membuat aksi melulu dan berbahaya tersebut.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka pihaknya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis sedang mempergiatkan usaha mengesan pihak yang terlibat dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan perbuatan seumpama itu jelas membahayakan nyawa termasuk pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ramli, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Najmi di talian 017- 8028105 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE