LOS ANGELES – Petinju terbaik sepanjang zaman, Floyd Mayweather memberi jaminan tidak akan membuat ‘pusingan U’ daripada persaraannya untuk kembali membuat kemunculan dalam gelanggang tinju profesional pada masa akan datang.
Legenda tinju Amerika Syarikat itu telah mengesahkan persaraannya daripada arena tinju profesional pada 2017 dengan karier kemenangan bersih 50-0 dan kini lebih berminat untuk menerima tawaran pertarungan secara pertunjukan sahaja.
Secara peribadi, Mayweather mengakui, sukar untuknya kembali ke gelanggang sebagai petinju profesional kerana zamannya sudah berakhir selain mahu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan.
“Buat masa ini, saya lebih berminat dengan pertarungan pertunjukan kerana dari segi komersial, ia memberikan nilai wang yang sama. Justeru, tiada guna untuk saya keluar daripada persaraan semata-mata mahu bertanding secara profesional.
“Malah, saya sudah berusia dan apa yang penting ketika ini adalah menjaga kesihatan. Namun, jika ada tawaran untuk bertarung di gelanggang selepas ini mungkin saya akan pertimbangkan selagi ia bertemakan pertunjukan,” katanya.
Petinju berusia 43 tahun itu pernah keluar daripada persaraan tiga tahun lalu untuk bertarung dengan jaguh seni tempur campuran (MMA), Conor McGregor yang menyaksikannya mencatat kemenangan mudah sekali gus meraih hadiah wang tunai bernilai AS$250 juta (RM1.39 bilion).
Mayweather turut dilaporkan berminat mengadakan pertarungan dengan seorang lagi jaguh MMA dari Rusia, Khabib Nurmagomedov, tetapi atlet berusia 32 tahun itu meluahkan hasrat untuk bersara selepas mempertahankan kejuaraan dunia miliknya bulan lalu. – AGENSI