fbpx

Petani rugi ratusan juta akibat lambakan sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tze Tzin (tengah) ketika lawatan ke sebuah syarikat R&D benih tempatan di Selangor, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Petani di negara ini didakwa menghadapi kerugian besar sehingga ratusan juta ringgit disebabkan berlakunya lambakan sayur-sayuran berikutan beberapa faktor terutama cuti panjang, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata, antara kumpulan petani yang paling terkesan adalah di Cameron Highlands, Pahang, Perak dan Johor.

Menurutnya, faktor lain yang menyebabkan berlakunya lambakan sayur-sayuran terbesar dalam sejarah adalah disebabkan kekurangan maklumat pasaran dan penanaman tanpa perancangan.

“Lambakan sayur-sayuran bukan perkara baru, ia berlaku saban tahun dan menyebabkan kerugian teruk kepada para petani. Maka, perkara ini harus diatasi.

“Bukan senang untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan dalam pasaran sayur-sayuran yang begitu kompleks melibatkan ratusan ribu petani, pengimport, pemborong, pengusaha rantaian bekalan dan akhirnya pembeli sayur-sayuran,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu turut mencadangkan pihak berkaitan mengkaji bahagian bekalan benih sayur-sayuran bagi mengatasi keseimbangannya.

“Untuk mengatasi masalah bekalan terlalu tinggi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terutamanya Jabatan Pertanian boleh cuba mengawal penjualan bekalan benih sayur-sayuran supaya tidak berlaku penanaman berleluasa.

“Contohnya, jika permintaan pasaran kubis adalah 1 juta biji sebulan, maka penjualan benih harus dihadkan kuota jualan lebih kurang 1.1 juta benih sebulan. Jika benih dihadkan dengan kouta, maka penanaman berlebihan boleh dielakkan,” jelasnya.

Beritahu beliau, maklumat pasaran amat penting dan harus didapati daripada semua pemegang taruh termasuklah petani, pemborong, jaringan pengusaha import dan eksport, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) serta Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI