AMPANG JAYA – Polis menahan seorang lelaki yang memukul isteri serta anaknya seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) lembam di kediaman mereka di Kampung Tasik Permai di sini, Khamis lalu.
Suspek yang didakwa mabuk ketika itu baru sahaja pulang ke rumah telah memukul isterinya berusia 51 tahun yang sedang tidur dalam kejadian pukul 11.15 tengah malam, Rabu lalu.
Selepas memukul isterinya, lelaki itu turut menendang anak perempuan mereka yang juga OKU.
Selain itu, lelaki itu turut mengugut ingin membunuh isterinya dengan pisau menyebabkan wanita itu meminta bantuan anak sulungnya sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang, Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan laporan itu anggota kereta Peronda (MPV) IPD Ampang Jaya menangkap lelaki pada keesokan harinya.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas lelaki tersebut mendapati, dia memiliki 13 rekod jenayah.
“Suspek bebas dadah dan semasa kejadian dia mabuk. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE