fbpx

Anzalna mengaku tak mudah istiqamah, pakai tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANZALNA NASIR

KUALA LUMPUR – Pelakon jelita Anzalna Nasir mengakui tidak mudah untuk kekal istiqamah dan bimbang hatinya berbolak-balik suatu hari nanti selepas dua tahun mengambil keputusan untuk berhijab.

Anzalna atau nama lengkapnya Nur Anzalna Mohd. Nasir berkata, dia sebenarnya enggan terlalu bercakap tentang penghijrahan dirinya kerana tidak tahu apa yang bakal berlaku pada kemudian hari.

“Sebenarnya saya tidak mahu jawab soalan-soalan begini sebab saya pun tidak tahu keadaan pada masa hadapan.

“Tapi sejujurnya sejak berhijab lebih dua tahun lalu, saya akui susah untuk istiqamah. Cuma saya berdoa supaya boleh kekal begini (berhijab) sampai bila-bila. Sebab perkara ini (berhijab) antara saya dengan Tuhan, bukan dengan manusia,” katanya kepada Kosmo! Online.

Setia ditemani suami tercinta, Mohamad Hanif Zaki di sisi, pelakon berusia 36 tahun itu juga meminta peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk dirinya supaya kekal dengan imej menutup aurat.

“Doakanlah yang terbaik untuk saya supaya kekal berhijab dan kekal dengan imej sebegini,” katanya.

Walaupun sudah berhijab, Anzalna berkata, rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus, malah sehingga kini tetap dihujani dengan banyak tawaran berlakon.

Sungguhpun begitu, dia terpaksa menolaknya secara baik kerana mahu memberi tumpuan terhadap keluarga.

“Alhamdulillah walaupun sudah berhijab, rezeki saya dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Saya tetap dihujani dengan banyak tawaran.

“Rezeki berlakon itu masih ada, cuma saya sendiri yang belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran kerana mahu memberi tumpuan terhadap keluarga,” katanya.

Ujar pelakon drama Memori Cinta Suraya itu, dua anaknya, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan masih lagi kecil dan memerlukan perhatian penuh daripadanya.

“Buat masa ini saya lebih utamakan keluarga. Lagi pun anak kedua saya, Emirhan baru berusia 11 bulan. Suami pun tiada halangan dan sentiasa memberi sokongan terhadap bidang yang saya suka lakukan iaitu berlakon,” jelas Anzalna yang kini aktif dalam bidang perniagaan menjual tudung dan pakaian.

Mengakui rindu untuk beraksi di hadapan kamera, Anzalna juga berkata, dia perlu mempertimbangkan watak mengikut kesesuaian imej dirinya sekarang apabila sudah berhijab.

“Untuk watak pula, saya kena pilih karakter yang bersesuaian dengan imej saya sekarang. Saya sudah tidak boleh lagi berlakon macam dahulu, lebih-lebih lagi saya juga telah punya anak.

“Saya juga tidak boleh ambil episod yang panjang kerana sudah berkeluarga. Bila saya tengok adik saya, Afiffah Nasir berlakon, memang terasa rindu juga sebenarnya.

Terdahulu, Anzalna mendirikan rumah tangga bersama Hanif Zaki pada 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidress, 2 dan Mohamad Emirhan, 11 bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI