LONDON – Manchester City terus beri tekanan kepada Arsenal apabila mengesahkan kemenangan ke 26 musim ini dengan menewaskan Leeds United 2-1 di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Ketika bintang sensasinya, Erling Haaland kecewa gagal menjelmakan jaringan, Ilkay Gundogan tiba tepat pada masanya untuk menghasilkan kedua-dua gol Man. City.
Sebelum perlawanan, Man. City jelas memiliki rekod baik dalam tiga pertemuan lepas dengan Leeds United, menyaksikan anak buah Pep Guardiola berjaya merekodkan 14 gol dan hanya bolos sekali pada aksi terakhir, Disember lalu.
Terdahulu, seawal 17 minit pertama, Man. City melepaskan dua peluang terbaik menerusi Julian Alvarez dan Haaland namun dua minit selepas itu, gandingan Gundogan bersama Riyad Mahrez mula merubah skrip aksi di babak pertama.
Memasuki minit ke-19, Mahrez mencipta lorongan menarik yang disudahkan oleh Gundogan sebelum bintang dari Jerman itu meledak gol kedua pada minit ke-27 sekaligus menjadikan babak pertama berlangsung berat sebelah dengan menyaksikan Man. City menguasai lebih 80 peratus permainan.
Pemain tuan rumah jelas begitu selesa saling bertukar hantaran dan memaksa Leeds United ‘berkampung’ di kawasan sendiri namun beberapa lagi peluang dicipta gagal disudahkan dengan lebih sempurna.
Penguasaan The Cityzens berterusan di babak kedua dan minit ke-62, Haaland hampir menambah gol ketiga sebaliknya rembatan dilepaskan terkena di tiang gol lawan.
Minit ke-84, Gundogan mempersiakan peluang melakar hatrik apabila gagal menyempurnakan penalti dan selang seminit selepas itu, Leeds United akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi Rodrigo.
Keputusan ini menyaksikan Man. City kekal di puncak liga dengan 82 mata, berkelebihan empat mata berbanding Arsenal yang bakal turun menentang Newcastle United, pada jam 11 malam ini. – KOSMO! ONLINE