SUNGAI PETANI – Mayat seorang wanita dipercayai warga tempatan ditemui di dalam longkang belakang sebuah rumah di Taman Perpaduan, Bakar Arang, dekat sini pada petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan tentang penemuan mayat itu daripada orang awam kira-kira pukul 5.47 petang tadi.
“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi dan menemui mayat hanya memakai baju kelawar tanpa pakaian dalam. Hasil siasatan awal, seorang saksi memberitahu terhidu bau busuk dari belakang rumah.
“Pada mulanya dia menyangka bau itu datang dari dalam tandas lalu mencuci tandas rumahnya itu, namun bau busuk masih tidak hilang. Saksi itu kemudian membuka pintu belakang rumanhya dan menemui mayat seorang wanita di dalam longkang,” katanya di sini hari ini.
Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Kata beliau, sesiapa yang menyaksikan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan di balai polis terdekat dan buat masa ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE