PHNOM PENH – Atlet karate negara, C. Shahmalarani menepati ramalan apabila sumbangkan pingat emas dalam acara kumite indvidu wanita bawa 50 kilogram (kg) yang berlangsung di Pusat Konvesyen Chroy Changvar, Phnom Penh sebentar tadi.
Shahmalarani menceriakan kem Malaysia apabila unggul mengatasi jaguh Filipina, Tsukii Junna Villanueva selepas keputusan juri memihak kepadanya.
Keputusan ini menyaksikan atlet itu terus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya ketika edisi di Hanoi pada tahun lalu.
“Syukur saya dapat mempertahankan pingat emas yang saya menang di Vietnam tahun lalu,” jelas Shahmalarani yang ditemui sejurus selepas dia dinobatkan sebagai pemenang.
Beberapa minit selepas, rakan sepasukan, Prem Kumar Selvam yang turun beraksi dalam acara kumite 55kg individu lelaki menentang wakil Thailand, Chanphet Setthapong.
Prem Kumar melakar kebangkitan dramatik pada 30 saat terakhir perlawanan apabila berjaya menyamakan kedudukan menjadi 3-3.
Keputusan seri itu terpaksa ditentukan oleh pihak juri yang kemudiannya memberikan kemenangan kepada Prem Kumar. – KOSMO! ONLINE