PETALING JAYA – Imam Masjid Muadz Bin Jabal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Muadzeen Ackil meninggal dunia ketika sedang bermain badminton.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh pendakwah bebas, Shahrizan Daud At Turabi, Allahyarham yang juga Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan 2020 itu rebah secara tiba-tiba dalam gelanggang dan tidak dapat diselamatkan.
Beliau yang turut berkhidmat di masjid sama menyifatkan Muadzeen sebagai seorang imam ratib yang berdedikasi dalam menjalankan tugas dan amanah.
Jelasnya, arwah yang berasal dari Lombok Indonesia itu turut bertindak sebagai penyelaras bagi pembinaan masjid di Lombok, yang menjadi pusat pengajian Islam dan al-Quran yang turut dinamakan sebagai Masjid Muadz Bin Jabal.
“Di Masjid Muadz, beliau mengajar jemaah membaca al-Quran, tajwid dan taranum. Arwah disenangi masyarakat setempat dan kehidupannya banyak dihabiskan dengan al-Quran.
“Saya bersaksi bahawa beliau adalah orang yang soleh dan tidak melakukan perkara mungkar sepanjang hidupnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE