PETALING JAYA – Penyanyi rap sensasi memohon maaf sekiranya pengguna motosikal jenama Ducati terpaksa merasai impak susulan dakwaannya mengenai isu ‘pilih kasih’ dalam undang-undang semalam.
Permohonan maaf tersebut disuarakan Caprice selepas acara sekumpulan penunggang motosikal berjenama Ducati diserbu bagi menjalani pemeriksaan pihak polis.
“Minta maaf kepada penunggang motosikal jenis ducati yang lain kalau terkesan dengan hantaran saya semalam sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan hari ini.
“Pagi tadi, mereka juga jalankan tugas di sebuah acara Ducati,” katanya dalam satu entri Instagram hari ini.
Meskipun aktif melontarkan pandangan dalam media sosial, pelantun lagu Baby Sayang itu bagaimanapun menegaska, sentiasa menghormati dan menyokong setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Saya sentiasa hormat dan sokong pihak PDRM. Di sini saya memohon maaf kalau ada pihak yang terasa atau terkesan.
“Platform saya ini sentiasa demi umat dan rakyat Malaysia. Insya-Allah saya cuba belajar dan tambah baik kandungan saya. Terima kasih,” ujarnya.
Hari ini, PDRM dalam satu kenyataan menyangkal dakwaan Caprice yang mengaitkan penunggang motosikal ‘T20’ tidak dikenakan tindakan berbanding penunggang motosikal ‘kapcai’.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, dakwaan dibuat oleh Caprice menerusi akaun Instagramnya semalam adalah salah dan tidak benar.
“JSPT tidak pilih kasih ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan dengan melanggar peraturan dan undang-undang di jalan raya.
“Tidak kira menunggang motosikal ‘kapcai’ atau Ducati berkuasa tinggi, mereka yang terlibat akan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli semalam mendakwa kononnya pasangan yang sebelum tular melakukan aksi ‘wheelie’ serta dikenakan tindakan sehingga ke mahkamah berikutan mereka menggunakan motosikal ‘kapcai’.
Dia juga mendakwa individu yang memakai motosikal berkuasa tinggi seperti Ducati selalunya diberikan ‘layanan istimewa’ dan jarang sekali dikenakan tindakan walaupun melakukan kesalahan berbanding pengguna motosikal berjenama lain.
Terdahulu, pasangan kekasih yang tular melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Chendor menghala ke Kemaman, Terengganu, menerusi sebuah video pada 12 Mac lalu, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Kuantan semalam.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun dijamin masing-masing sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak. – KOSMO! ONLINE