Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Penduduk di Blok 47, Paya Terubong di sini gempar dengan penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di atas peti surat aras bawah perumahan itu hari ini.
Bayi yang masih hidup itu ditemui orang awam dalam keadaan dibaluti dengan tuala putih dan disumbat di dalam beg plastik kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.
Penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian itu disedari selepas salah seorang penghuni di situ ternampak satu objek bergerak di dalam beg selain bahagian kepalanya terbonjol keluar.
“Sebaik menghampiri beg terbabit, bayi itu didapati dalam keadaan masih bernyawa di dalam bungkusan plastik bersama satu lagi beg untuk mendaki.
“Bayi yang masih bertali pusat itu berada dalam keadaan kesejukan dan badannya masih basah seperti baru dilahirkan.
“Penduduk kemudiannya terus memberinya minum susu dan memakaikan lampin pakai buang serta baju sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE