KLUANG – Kemasukan gajah liar ke kawasan penempatan di daerah ini bukan sesuatu yang asing kerana hampir setiap minggu pasti ada kejadian berlaku sehingga menyebabkan kebimbangan kepada penduduk.
Terbaru, dua ekor gajah dewasa dan seekor anak gajah datang ‘beraya’ ke taman perumahan di Taman Sri Lambak ini selama kira-kira tiga jam bermula pukul 1 pagi.
Penduduk Jalan Cekal 14, Razak Ahmad, 55, berkata, kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi selepas mendengar dengusan kuat binatang itu serta bunyi pelepah kelapa diragut oleh orang kuat ini.
Katanya, selain itu semua tanaman yang ditanam oleh oleh penduduk dan kebiasaanya menjadi makanan gajah habis dicabut.
“Kumpulan tiga ekor gajah ini dipercayai masuk ke Jalan Semangat 9 pada minggu lepas dan tidak disangka boleh masuk ke kawasan ini walaupun diselangi banyak rumah penduduk antara dua jalan ini.
“Namun, kumpulan gajah dipercayai tiga beranak ini mungkin masuk melalui kawasan tanah perkuburan Islam yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Kluang dan tidak jauh daripada Jalan Cekal,”katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk Cekal 4, Mohd. Ghazali Esa, 47, berkata, keluarganya menyedari kehadiran gajah liar ini kira-kira pukul 4 pagi selepas mendengar salakan anjing berpanjangan di jalan itu.
Ujarnya, apabila bangun pagi, pihaknya melihat banyak pokok yang ditumbangkan sepanjang Jalan Cekal 4 melibatkan kira-kira 10 buah rumah.
“Sebelum ke Jalan Cekal 4, kumpulan gajah liar berkenaan dipercayai terlebih dahulu meragut apa sahaja tanaman yang boleh dimakan di sepanjang Jalan Cekal 9 selepas “menjamu” selera di Jalan Cekal 14,” katanya.
Menurut Ghazali lagi, berikutan kekerapan gajah liar ini memasuki kawasan penempatan penduduk di taman ini, penduduk mengharapkan satu tindakan jangka panjang dapat dilakukan sebelum sesuatu perkara tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE