fbpx

Dakwaan Caprice penunggang motosikal ‘T20’ ‘terlepas’ undang-undang disangkal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video dimuat naik Caprice pada akaun Instagramnya semalam.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan dikeluarkan penyanyi rap, Caprice yang mengaitkan penunggang motosikal ‘T20’ tidak dikenakan tindakan berbanding penunggang motosikal ‘kapcai’.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, dakwaan dibuat oleh Caprice menerusi akaun Instagramnya semalam adalah salah dan tidak benar.

“JSPT tidak pilih kasih ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan dengan melanggar peraturan dan undang-undang di jalan raya.

“Tidak kira menunggang motosikal ‘kapcai’ atau Ducati berkuasa tinggi, mereka yang terlibat akan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, dua kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibuka oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Kuala Selangor berkait dua kejadian berasingan melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi tersebut.

“Kertas siasatan dalam proses akhir sebelum mendapat keputusan daripada pejabat timbalan pendakwa raya. Terdapat juga kes penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tidak memakai topi keledar apabila videonya tular di media sosial sebelum ini, juga telah diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi video dimuat naik pada Instagram mendakwa kononnya pasangan yang sebelum tular melakukan aksi ‘wheelie’ serta dikenakan tindakan sehingga ke mahkamah berikutan mereka menggunakan motosikal ‘kapcai’.

“Siapa suruh buat jenayah besar, kan dah kena ‘kutip’, kena gari, kena pakai baju ungu. Digari pergi mahkamah, siapa suruh buat jenayah besar, cuba buat jenayah kecil, curi duit berjuta, dera budak kecil.

“Siapa suruh naik motosikal ‘kapcai’ harga RM7,000, cuba bawa Ducati T20 RM200,000. Ini Ducati tak ada lagi video pergi mahkamah, ‘dikutip’, digari, video dah jelas. Lain kali nak buat jenayah cuba bawa Ducati, jangan ‘kapcai’,” dakwanya yang mengaitkan kes melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu yang tular Februari lalu.

Terdahulu, pasangan kekasih yang tular melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Chendor menghala ke Kemaman, Terengganu, menerusi sebuah video pada 12 Mac lalu, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Kuantan semalam.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun dijamin masing-masing sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI