SEBERANG PERAI – Orang ramai mula mengunjungi ke program Rumah Terbuka bersama Perdana Menteri yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, di sini, seawal pukul 10 pagi tadi.
Rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersua muka dengan pemimpin nombor satu negara itu serta beberapa pemimpin lain selain menjamu selera pelbagai juadah menarik.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ribuan pengunjung sudah memenuhi pekarangan khemah makanan ketika program mula berlangsung pukul 11 pagi.
Bagi Abdullah Murad, 50, dia mendapat tahu mengenai rumah terbuka itu melalui laman Facebook dan tidak mahu melepaskan peluang untuk datang bersama keluarganya walaupun tinggal agak jauh dari lokasi iaitu di Balik Pulau.
“Anak-anak saya selalu bercakap mahu beraya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) kalau boleh. Jadi, saya cuba tunaikan impian mereka walaupun belum tentu mereka dapat beraya, bergambar atau bersalam dengan Perdana Menteri,” katanya.
Selain menyediakan pelbagai juadah enak untuk tetamu yang hadir, penganjur turut menyediakan beberapa gerai pameran serta khemah khas untuk berteduh bagi kemudahan pengunjung. – KOSMO! ONLINE