PETALING JAYA – Pelakon Ayu Raudhah selamat menimang cahaya mata keenamnya di sebuah pusat perubatan swasta di Seremban, Negeri Sembilan semalam.
Berkongsi berita gembira, suaminya yang juga pemain bola sepak negara, Zaquan Adha memberitahu isterinya melahirkan anak keenam mereka iaitu bayi lelaki pada pukul 2.25 petang semalam.
“Alhamdulillah, isteri saya telah selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2.25 petang.
“Terima kasih atas doa semua,” katanya dalam Instagram.
Pasangan itu bagaimanapun tidak berkongsi wajah atau nama bayi mereka.
Menerusi hantaran berbeza, Zaquan juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada Ayu atau nama penuhnya Raudhah Che Wan, 38, yang bertarung nyawa ketika melahirkan anak mereka semalam.
“Terima kasih kerana menjadi wanita yang kuat. Kekuatan awak tidak mampu untuk dilawan dan pengorbanan awak juga tak mampu dibalas walaupun dengan wang ringgit.
“Apabila melihat awak melawan sakit bertarung nyawa membuatkan rasa betapa banyaknya kekurangan saya sebagai suami dan ayah yang sempurna.
“Saya hanya mampu berdoa semoga Allah SWT menjaga awak, anak-anak dan keluarga kita. Saya sayang awak,” ucapnya romantis.
Ayu yang juga adik kepada aktres Rozita Che Wan mendirikan rumah tangga bersama Zaquan pada 21 Januari 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 10, Muhammad Aisy Aryann, 9, Laura Zuleykha, 6, dan Muhammad Aisy Khaliq, 4, dan Muhammad Aisy Al Jibreel, dua tahun. – KOSMO! ONLINE