fbpx

Pencarian 3 kru Kapal MT Pablo yang hilang ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi Carilamat tiga kru Kapal MT Pablo yang hilang di Tanjung Sedili, Kota Tinggi telah ditangguhkan sehingga petunjuk baru ditemui.

JOHOR BAHRU – Operasi Carilamat tiga kru MT Pablo yang hilang dan belum ditemui ketika kapal berkenaan terbakar di Tanjung Sedili, Kota Tinggi masih menemui jalan buntu apabila ditangguhkan setelah memasuki hari kelima.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, usaha pencarian ditumpukan di dalam kapal MT Pablo di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera.

Beliau berkata, operasi dijalankan dengan bantuan sebuah kapal maritim KM REDANG dan dua buah bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Seramai 31 pegawai dan anggota Maritim Malaysia dibantu 11 orang pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dua orang kru kapal MT Pablo telah tiba di lokasi kapal tangki tersebut pada pukul 1 petang semalam.

“Tumpuan utama terarah di dalam kapal MT Pablo di bahagian anjungan kapal sehingga ke bilik jentera, namun tiada mangsa ditemui.

“Hasil pencarian yang dilaksanakan sehingga Operasi Carilamat ini ditangguhkan pada pukul 7 petang setelah tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa tiga kru yang masih hilang berada di dalam kapal tangki terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, akhbar melaporkan tiga kru kapal berkenaan hilang dalam kejadian kebakaran tersebut, manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing merupakan warganegara India dengan seorang warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru juga telah memaklumkan kepada pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia.

Mengulas lanjut, Nurul Hizam memberitahu, pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia turut melakukan safety past bersama Unit Tindakan Khas (UTK) dan mendapati sudut kecondongan kapal
semakin bertambah dan kelihatan asap keluar dari corong atas sebelah kanan kapal tangki MT Pablo.

“Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal tangki tersebut, pihak MRSC Johor Bahru telah menangguhkan Operasi Carilamat ini sehingga petunjuk baru ditemui,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI