KLANG – Sektor logistik negara terus diperkasakan dengan penaiktarafan unit logistik kepada bahagian baharu dalam Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini terdapat lebih 8,000 syarikat tempatan yang berada dalam industri logistik.
Katanya, naik taraf tersebut membolehkan semua isu berkaitan industri logistik dapat didengari lebih baik bukan dalam MOT sahaja tetapi beberapa agensi kementerian lain yang berkaitan sektor itu.
“Industri logistik berkembang dengan pesat dalam tahun kebelakangan ini dan memainkan peranan utama dalam ekonomi negara kita.
“Jadi tanpa satu sistem ataupun logistik yang berkesan, akan menjejaskan daya saing negara kita dalam pelbagai bidang,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gala Persatuan Ejen-Ejen Penghantaran dan Logisitik Selangor (SFFLA) 2023 di Hotel Wyndham, di sini, malam tadi.
Beliau menjelaskan industri logistik terdiri daripada beberapa bidang seperti pergudangan, penghantaran barangan dan pengangkutan.
Tambah Anthony, sistem logistik yang cekap dan efisien akan menyokong pelabuhan-pelabuhan utama kita dalam industri tersebut.
“Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk melihat sektor ini sebagai salah satu industri yang sangat penting untuk negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE