PETALING JAYA- Kerajaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan fenomena banjir yang dijangka melanda kawasan pantai timur negara bulan ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persediaan itu termasuklah menetapkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
“Kerajaan pasti buat persediaan kerana kita faham apabila berlaku banjir, ada banyak risiko tinggi jangkitan yang boleh terjadi seperti ketika proses pemindahan mangsa, di pusat penempatan serta perkongsian tandas.
“Kita juga akan fikirkan cara terbaik untuk memindahkan mangsa kerana dalam situasi banjir, ada sentuhan antara anggota bertugas dan mangsa seperti menyelamatkan warga emas,” katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live Kementerian Pertahanan di sini tadi.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai untuk berdoa agar fenomena banjir yang biasanya terjadi pada bulan November dan Disember tidak berlaku sekali gus memudahkan proses menghentikan rantaian wabak Covid-19. – K! ONLINE