fbpx

Dua lagi pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah disahkan positif Covid-19 selepas ujian swab dilakukan kepada semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

IPOH – Dua lagi pelajar perempuan dari Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, pelajar tingkatan tiga dan empat itu disahkan dijangkiti wabak berkenaan hasil ujian saringan pengesanan Covid-19 (ujian swab) yang dilakukan minggu lalu.

Katanya, seramai 604 pelajar, guru dan kakitangan sekolah telah diarah menjalani ujian saringan tersebut sejak kes pertama dikesan membabitkan seorang pelajar tingkatan enam asrama sekolah itu.

“Seramai 568 pelajar yang tinggal di asrama telah menjalani ujian swab dan hasil daripada ujian itu, dua pelajar disahkan positif.

“Mereka telah diasingkan dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Menurut Mohd. Akmal, dalam ujian saringan itu, empat lagi pelajar masing-masing berusia 14, 15 dan 17 tahun yang mengalami gejala sesak nafas bagaimanapun disahkan negatif Covid-19.

Katanya, seramai 558 pelajar yang menginap di asrama telah diarah menjalani kuarantin di mana 174 pelajar ditempatkan di Kolej Kesihatan Sains Bersekutu Ulu Kinta manakala 372 pelajar lagi menjalani kuarantin kendiri di asrama dan 12 pelajar pula di rumah.

“Kesemua mereka menjalani kuarantin sejak minggu lalu berikutan sebahagiannya bergejala dan mempunyai kontak rapat.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan operasi sekolah masih ditutup sebagai langkah pencegahan penularan wabak,” katanya.

Kosmo! pada 24 Oktober lalu melaporkan, Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah diarah tutup selepas seorang pelajar disahkan positif Covid-19.

Arahan penutupan dikeluarkan pada 23 Oktober membabitkan dua sekolah itu berikutan pelajar perempuan yang disahkan dijangkiti merupakan pelajar Sekolah Izzuddin Shah namun menginap di asrama Sekolah Raja Perempuan Taayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI