UDINES – Ketua jurulatih Napoli, Luciano Spalletti tidak dapat menahan sebak apabila menitiskan air mata selepas menjulang gelaran Serie A musim ini.
Keputusan seri 1-1 dengan Udinese di Dacia Arena awal pagi semalam sudah cukup buat The Partenopei untuk mengesahkan kejuaraan Scudetto ketiga kelab tersebut sejak kali terakhir memenanginya pada musim 1989/1990.
Spalletti, 64, yang mula dilantik sebagai pengendali Napoli sejak 29 Mei 2021 mendedikasikan kejayaan itu kepada seluruh penyokong pasukan itu kerana terpaksa menanti selama 33 tahun untuk meraikan kejuaraan tersebut.
“Ini adalah emosi terindah dalam karier kejurulatihan saya apabila dapat melihat keriangan di wajah setiap penyokong The Partenopei. Mereka paling berhak untuk meraikan kejayaan ini.
“Kami tidak akan berada di sini tanpa mereka yang sentiasa bersama pasukan dan tidak pernah berhenti memberikan sokongan walaupun berada dalam fasa-fasa sukar sebelum ini.
“Mereka pernah melihat legenda Diego Armando Maradona menjulang kejuaraan ini buat Napoli.
“Kejuaraan ini milik mereka untuk diraikan sekali lagi,” kata Spalletti.
Udinese terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Sandi Lovric pada minit ke-13 sebelum Victor Osimhen muncul wira pasukan dengan gol penyamaan dalam separuh masa kedua.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan Napoli sudah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pasukan termasuk Lazio di tangga kedua berdasarkan kelebihan 16 mata dengan saingan cuma berbaki lima perlawanan lagi. – AGENSI