Ketika akhir Ramadan lalu iaitu dua hari terakhir berpuasa cuaca panas memang luar biasa.
Agaknya ketika itu Tuhan mahu menguji keimanan kita pada hari-hari akhir Ramadan tahun ini.
Ketika itu kebanyakan kita berada di kampung, penulis ada juga lihat aplikasi cuaca yang menyatakan suhu pada dua hari itu adalah 40 darjah Celsius, tetapi melalui media sosial MetMalaysia hanya menyatakan maksimum suhu dicatatkan adalah 37 darjah Celsius.
Entahlah mana satu betul mungkin aplikasi di telefon pintar penulis tidak berapa tepat.
Selesai berpuasa, ketika 1 Syawal dan 2 Syawal keadaan panas membahang tetap sama, bezanya kita boleh minum air kosong dan air manis sejuk sepuasnya.
Habis beraya dan cuti sekolah seminggu, isu cuaca panas makin hangat setelah tersebar berita dua kanak-kanak maut akibat strok haba.
Dua kanak-kanak itu mengalami dehidrasi melampau sehingga buah pinggangnya kering dan rosak.
Sedih sungguh baca berita itu selepas kita bergembira sambut Aidilfitri.
Kebimbangan ibu bapa bertambah lebih-lebih lagi apabila buka sekolah minggu lalu anak-anak akan memulakan pelbagai aktiviti seperti kegiatan kokurikulum dan merentas desa.
Selain itu, isu pakaian lengkap di sekolah turut menjadi perbualan hangat di WhatsApp dan nasib baik Kementerian Pendidikan bertindak cepat dengan membenarkan murid-murid dan guru berpakaian pendidikan jasmani.
Uniform pendidikan jasmani ketika ini adalah paling relevan ke sekolah tanpa perlu mengenakan tali leher, vest dan berlapis-lapis pakaian (jika murid ada jawatan pengawas dan sebagainya).
Ada juga sekolah yang membuat kempen minum air beramai-ramai dalam kelas dengan dipantau guru-guru bagi mengelakkan dehidrasi dalam cuaca panas berdegung ini.
Di sebalik kelonggaran itu, Kementerian Pendidikan perlu memperhalusi isu kegiatan kokurikulum pada setiap hari Rabu bermula 2.30 hingga 4.30 petang di sekolah rendah dan menengah ketika ini.
Ada seorang guru memberi pandangan aktiviti itu patut diadakan sebelah pagi pada waktu persekolahan contohnya pada hari Rabu itu juga.
Jadual kelas mungkin boleh diubah suai mengikut kesesuaian dan pasti ada jalan terbaik agar murid tidak tercicir lagi dalam pelajaran.
Dalam kita sibuk mengenai sekolah perdana itu, jangan lupa pada pelajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi dan KAFA yang masih mewajibkan baju Melayu putih dan bersamping. Jabatan agama negeri-negeri juga perlu membenarkan murid-murid berpakaian sukan yang sememangnya ada bagi aktiviti luar kelas sebelum ini.
Tidak perlu bersongkok dalam keadaan panas begini.
Jangan ada kes budak pengsan di luar kelas atau ketika menunggu van bagi kita kelam kabut nak tukar itu ini. Maaf ketika itu sudah terlambat.