SEREMBAN – Dua beradik yang maut selepas terbabit nahas di Kilometer (KM) 257.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini semalam, baru bekerja sebagai pemandu kren sejak sebulan lalu di Taman Perindustrian Taman Tuanku Jaafar di sini.
Mangsa, Mohd. Husaini Amir Harun, 29, dan adiknya, Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25, masing-masing berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.
Menurut isteri arwah Mohd. Hussaini, Nurfarha Shahdan, 32, suami dan adik iparnya berulang-alik dari rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor ke Seremban setiap hari untuk bekerja di sebuah kilang di sini.
“Lebih sebulan mereka bekerja di situ. Mereka berdua masuk kerja pada pukul 7 pagi. Suami saya merupakan anak keenam daripada tujuh beradik, manakala adik ipar pula anak bongsu.
“Mereka berdua memang sangat rapat sehinggakan Amirul tinggal bersama kami di Puchong. Saya terkejut mengetahui mereka terlibat kemalangan, namun reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini semalam.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Kuala Terengganu selepas selesai bedah disiasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, motosikal ditunggang dua beradik tersebut melanggar sebuah lori di lokasi kejadian pada pukul 7.05 pagi.
Mohd. Husaini merupakan penunggang motosikal, manakala adiknya pula pembonceng.
“Siasatan mendapati, lori muatan makanan haiwan sedang bergerak di lorong kiri. Motosikal Yamaha yang ditunggang mangsa di lorong kecemasan mengubah haluan ke lorong kiri dan melanggar belakang kenderaan berat tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, rakan sekerja mangsa, Mustaqim Abdul Kadir, 36, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan dua beradik tersebut pada Rabu lalu ketika mereka keluar makan.
“Saya tahu mengenai kejadian menimpa mereka daripada rakan sekerja lain. Kali terakhir saya jumpa mereka kelmarin (Rabu) dan sempat bertegur sapa.
“Waktu kerja kami bermula pukul 7 pagi sehingga 10 malam. Bekerja sebagai pemandu kren biasanya banyak berada di lokasi. Saya sudah mengenali mereka sejak dua tahun lalu.
“Sepanjang perkenalan, mereka berdua memang baik, mesra dan rajin bekerja,” katanya.