fbpx

Seorang lagi berdepan tali gantung bunuh Sa’adon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. -foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang lagi lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian pesara, Sa’adon Sahat, Februari lalu.

Tertuduh, Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, yang merupakan pekerja kilang hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Sa’adon, 57.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira antara pukul 2.44 hingga 3.10 pagi di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah, 27 Februari 2023 lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha, manakala tertuduh diwakili Peguam R.Ryshinah.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat kematian mangsa.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pesara maut selepas dirempuh sebuah kereta gara-gara menegur muzik dipasang dua individu di dalam kenderaan tersebut terlalu kuat di Plaza Pandan Malim di sini, pada 27 Februari lalu.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi itu, mangsa Sa’adon Sahat, 57, bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas 11 jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Pada 27 Mac lalu, seorang lelaki warga India yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, S.Logamurugan, 27, telah didakwa atas pertuduhan membunuh Sa’adon.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI