fbpx

Tanah runtuh Wisma YPR: KKR masih belum terima sebarang permohonan bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexandar (kanan) sedang bertanya kepada salah seorang pekerja bangunan ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian, petang tadi.

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) masih belum terima sebarang bentuk permohonan bantuan daripada pihak yang terlibat dalam runtuhan tanah di Wisma YPR, Off Jalan Syed Putra, di sini, tengah malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, difahamkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhak memohon pemilik premis untuk melantik perunding.

Ujarnya, ia bagi menyiasat, membuat laporan serta mengemukakan kaedah pembaikan kepada PBT untuk kelulusan.

“Dalam perbualan dengan beberapa pekerja di bangunan berkenaan, saya mendapat gambaran awal bagaimana kejadian sedih meragut nyawa seorang pengawal keselamatan itu.

“Mereka (pekerja bangunan) tidak menyangka akan terjadi tanah runtuh kerana tiada sebarang petanda awal. Tambah pula dengan cuaca tidak menentu.

“Melalui tinjauan tadi, kerja-kerja pembersihan tapak dilaksanakan dan ‘tarpaulin sheet’ di kawasan cerun runtuhan dipasang bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah,” katanya dalam kenyataan di Facebook selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh, petang tadi.

Menurut beliau, difahamkan oleh pekerja-pekerja bangunan, PBT iaitu DBKL dan juga Bomba telahpun turun ke tapak bagi melaksanakan tindakan awal yang sewajarnya.

Dalam pada itu, ujarnya, meskipun premis ini adalah milik swasta dan berada di bawah penyelarasan DBKL, pihaknya bersedia menawarkan bantuan dalam apa juga cara di bawah kapasiti KKR, sekiranya diperlukan.

Pihaknya juga menasihati orang ramai yang ternampak atau menyedari sebarang pergerakan tanah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini.

“Saya seru semua pihak agar dapat menyalurkan maklumat dengan kadar segera kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga tempatan yang sedang bertugas di sebuah pondok pengawal maut apabila tertimbus dalam runtuhan batu penahan tebing.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.54 tengah malam.

Mangsa berusia 69 tahun itu kemudiannya berjaya dikeluarkan pada pukul 6.23 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI