PETALING JAYA – Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Pas (PasRelief) kini dalam fasa membangunkan semula bangunan Pejabat Kementerian Buruh, Palestin yang musnah dalam peperangan pada tahun 2021.
Menerusi satu kenyataan PasRelief berkata, projek kerjasama dengan Kementerian Buruh, Palestin itu menyasarkan sumbangan bernilai RM1.1 juta bagi menyiapkan bangunan setinggi tiga tingkat dengan keluasan 270 meter persegi.
“Buat masa sekarang, fasa pembinaan telah berada di tingkat kedua. Tingkat pertama pula sudah bermula fasa pemasangan elektrik.
“Sebanyak RM 250,000 masih diperlukan bagi merealisasikan hasrat dan harapan rakyat Palestin bagi masa depan yang lebih baik,”ujar kenyataan itu.
Justeru, PasRelief menyeru dan mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu dalam menyiapkan sepenuhnya pembangunan Pejabat Kementerian Buruh yang masih dalam fasa pembinaan sekarang.
Jelasnya, bangunan itu akan menjadi tempat permulaan baru untuk bekerja dan harapan untuk anak muda dan rakyat Palestin.
Terdahulu katanya, peperangan yang meletus pada dua tahun lalu telah menyebabkan banyak runtuhan rumah dan bangunan hancur.
Insiden itu juga menyebabkan ramai kehilangan tempat bekerja termasuklah Pejabat Kementerian Buruh.
Sehubungan itu, sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief atau ke akaun Tabung Kemanusiaaan PasRelief 5640 7061 4481 Maybank.-KOSMO! ONLINE