Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Sebuah Pusat Transit Gelandangan yang pertama seumpamanya di negeri ini akan diwujudkan di bandar ini sebagai usaha menyelesaikan isu golongan gelandangan yang tidak mempunyai tempat perlindungan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pusat transit tersebut akan dibina kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
“Pembinaan pusat terbabit merupakan satu keperluan bagi memberi pelindungan sementara kepada mereka yang tiada tempat tinggal.
“Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan sebuah NGO untuk membina pusat transit ini. Sejak pandemik Covid-19 melanda, kami melihat isu ini perlu diselesaikan segera kerana bimbang mereka (gelandangan) dijangkiti wabak tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir ke program Kempen Derma Darah di Seremban 2 di sini hari ini.
Menurut Nicole, kerajaan negeri amat mengharapkan pusat transit berkenaan dapat memberi kemudahan kepada gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal.
“Pusat transit ini akan memuatkan 50 orang gelandangan pada satu-satu masa dan memerlukan sebanyak RM600,000 peruntukan daripada kerajaan negeri. Peruntukan tersebut akan dibahaskan dalam sidang pembentangan Belanjawan Kerajaan Negeri Sembilan pada 27 November ini.
“Dua buah rumah banglo dua tingkat akan digunakan bagi menempatkan gelandangan terlibat di sebuah lokasi di Seremban. Segala pengurusan berkaitan rumah transit itu akan ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Nicole berharap, semua ketua rumah ibadat di negeri ini di harapkan juga dapat membantu dalam memberi sokongan daripada aspek rohani dan mental kepada gelandangan tersebut.-K! ONLINE