ALOR SETAR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyelesaikan bayaran ganti rugi kes saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan dengan segera.
Menurut Mahfuz, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat untuk tindakan bersesuaian termasuk memfailkan notis kebankrapan atau menyita aset Menteri Besar Kedah itu jika bayaran masih tidak dibuat.
“Jadi saya kena minta peguam untuk bertindak membuat tuntutan tersebut atau akan tunggu apa nasihat sama ada nak fail kebankrapan ke atasnya atau sita harta beliau yang berjumlah RM120,000.
“Saya hanya menunggu sajalah, apa nasihat peguam yang boleh saya lakukan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz menyifatkan alasan Muhammad Sanusi meminta beliau merujuk dan berurusan dengan peguamnya bukan secara terus adalah tidak relevan, malah melengahkan bayaran saman itu.
Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.
Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah dalam kes tersebut selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman tersebut daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Kelmarin, Muhammad Sanusi dilaporkan meminta Mahfuz agar menggunakan saluran peguam antara peguam untuk menyelesaikan isu bayaran saman berkenaan. – KOSMO! ONLINE