fbpx

188 penjawat awam daripada 60,000 individu ditahan terlibat dadah, racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara dadah jenis ganja yang dirampas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, April lalu.

PETALING JAYA – Lebih 60,000 orang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah pelbagai seksyen kesalahan melibatkan dadah dan racun dalam pelbagai siri operasi sejak awal tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Jelasnya, daripada jumlah 62,132 orang tersebut, seramai 128 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Sejak awal tahun sehingga April, JSJN berjaya merampas sebanyak 7,917 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,379 liter pelbagai jenis cecair dadah.

“Sebanyak 31,856 kg daun ketum, 21,243 liter air ketum serta lapan batang pokok ganja bernilai RM213 juta turut dirampas.

“JSJN juga berjaya memberkas sebanyak 118 sindiket melibatkan 366 orang dengan membongkar empat buah makmal dadah haram bersama-sama empat tangkapan ke atas ahli Kimia,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebook rasmi JSJN, semalam.

Tegas JSJN lagi, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak apabila seramai 188 penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah di mana empat individu daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Sementara itu, seramai 2,669 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang dimana 1,533 individu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 25,331 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 22,753 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 89.82 peratus.

“Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM32.8 juta telah disita manakala sebanyak RM2.7 juta nilai harta yang telah dilucuthak.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI