fbpx

Siti Nurhaliza serah pada pihak berwajib isu berita palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui terkilan dan sedih apabila ada pihak membuat suntingan menggunakan nama serta gambar profil Facebook (FB) dan membuat penyebaran berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah, baru-baru ini.

Ujar Siti, 44, dia tidak menyangka individu tidak bertanggungjawab itu sanggup berbuat demikian semata-mata untuk mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

“Saya terkilan dan sedih apabila ada pihak berani buat suntingan sebegitu. Kalau mahu kata akaun saya digodam, memang tidak ada apa-apa hantaran seperti itu dalam FB saya.

“Pelaku memang buat suntingan dan berita palsu itu sendiri. Jadi saya serahkan sahaja perkara itu kepada pihak berwajib memandangkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga sudah mengeluarkan kenyataan dan akan mengambil tindakan,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Pelantun lagu Percayalah itu bagaimanapun masih mempunyai sifat berhati perut daripada mengambil sebarang tindakan undang-undang dan hanya menyerahkan siasatan kepada pihak berwajib supaya kejadian seumpama itu dapat dikekang pada masa akan datang.

“Apabila perkara ini terjadi memang rasa terkilan dan sedih, tetapi tidak mengapa sebab mungkin dahulu saya hanya selalu memberi amaran sahaja terutama dalam media sosial.

“Saya masih berhati perut dalam perkara ini. Apabila menteri sendiri sudah bersuara, jadi saya serahkan kepada pihak berwajib,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Global Station Sdn. Bhd, di sini, malam tadi.

Tambah Siti, mungkin disebabkan selama ini hanya memberi amaran dalam media sosial menyebabkan ada pihak yang masih berani menggunakan namanya untuk tujuan penyebaran berita palsu.

“Disebabkan saya hanya memberi amaran, mungkin ada orang masih berani untuk melakukan perkara seperti ini.

“Semua sudah menjadi suara saya, sama ada peminat dan netizen sudah faham. Tidak mengapa saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib,” katanya.

Terdahulu, Siti berkongsi luahan dalam InstaStory mengenai berita palsu yang membabitkan persembahan pentasnya di utara tanah air dengan majlis berunsur politik.

Kenyataan palsu tersebut kemudiannnya digunakan oleh sebuah portal hiburan sebagai bahan berita bertajuk ‘Siti Nurhaliza tak sangka rumah terbuka jadi majlis politik’ sehingga menuai perhatian ramai.

Penyanyi itu dalam perkongsian di InstaStory memberi teguran kepada pihak berkaitan supaya berhenti menyebarkan perkara tidak sahih selain jangan membesarkan hal tersebut.

Rentetan daripada itu, Fahmi memberi amaran terhadap portal hiburan terbabit dan menggesa berhenti daripada menyebarkan sebarang kandungan berita palsu yang boleh mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Malah kata Fahmi kenyataan palsu yang dijadikan bahan politik itu boleh mengakibatkan pihak tidak bertanggungjawab boleh dikenakan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI