LEGAZPI, Filipina – Taufan Super Goni membadai Filipina hari ini dengan pihak berkuasa memberi amaran ‘keadaan kemusnahan dahsyat’ dijangka berlaku di wilayah terlibat dengan lebih 300,000 penduduk sudah meninggalkan kediaman masing-masing.
Taufan yang dianggap paling kuat tahun ini mula membadai Pulau Catanduanes pada pukul 4.50 pagi (waktu tempatan) dengan angin kekal selaju 225 kilometer sejam, menurut agensi ramalan cuaca negara itu.
Tempoh 12 jam akan datang, ‘angin kemusnahan teruk dan hujan lebat berterusan’ mungkin berlaku di wilayah Bicol yang merangkumi bahagian selatan Pulau Luzon dan Catanduanes, katanya.
“Ini adalah keadaan memudaratkan di kawasan-kawasan berkenaan.”
Goni yang bertukar menjadi kategori taufan super semasa menghampiri Filipina, seminggu selepas Taufan Molave melanda wilayah sama di kawasan kepulauan itu.
Taufan Molave meragut 22 nyawa dan menyebabkan banjir di kawasan perkampungan dan tanah ladang rendah sebelum menuju ke Vietnam melalui Laut China Selatan.
Ketua Agensi Pertahanan Awam, Ricardo Jalad semalam memberitahu bahawa ‘hampir satu juta penduduk’ telah dipindahkan keluar daripada kediaman mereka di wilayah Bicol. – AFP