KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha terpaksa menurunkan berat badan secara maksimum kerana terikat dengan perjanjian (kontrak) untuk sebuah drama yang memerlukan dirinya kurus mendadak.
Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) kerana mengamalkan diet pemakanan yang ketat selain baru sahaja selesai menjalani ibadah berpuasa.
“Memang saya turun banyak berat badan iaitu sebanyak 10 kg. Banyak faktor saya kehilangan berat badan. Selain berpuasa, saya juga menjaga pemakanan.
“Saya terpaksa kurus untuk satu projek drama pada bulan Jun nanti. Syarat dalam drama tersebut saya kena nampak kurus dan telah menandatangani perjanjian (kontrak),” jelasnya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Global Station, semalam.
Ujar pelakon berusia 39 tahun itu lagi, untuk mendapatkan bentuk badan yang diidamkan, dia tidak mengambil daging dan ayam pada hari Isnin sehingga Jumaat dan hanya mengamalkan pengambilan ikan sahaja.
“Saya tidak ambil ayam dan daging pada hari Isnin sehingga Jumaat. Saya cuma makan ikan sahaja. Tapi hari minggu (Sabtu dan Ahad), saya akan makan apa sahaja.
“Tapi saya masih makan nasi kerana memerlukan tenaga,” katanya.
Walaupun menginginkan bentuk badan yang kurus, Fasha berkata, dia enggan dilihat seperti orang sakit seperti yang dikatakan segelintir peminatnya.
Ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 itu, dia tidak mahu dilihat seperti orang tidak sihat kerana terlalu kurus dan akan mengawal bentuk badannya supaya tidak kelihatan kurus keterlaluan.
“Saya memang nak kurus. Tapi biarlah kurus yang nampak sihat. Buat apa kurus tapi nampak macam orang sakit.
“Harap saya boleh kekalkan bentuk badan seperti sekarang. Takut juga lupa diri sebab saya senang naik berat badan sebenarnya,” kata Fasha.
Menyentuh tentang keadaan mata kirinya selepas insiden kemalangan di lokasi penggambaran pada Mac lalu, Fasha yang ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Global Station berkata, dia masih belum melakukan pembedahan walaupun tulang matanya masih lagi patah.
Kata Fasha, dia menunda dahulu untuk melakukan pembedahan kerana mahu menyambut lebaran terlebih dahulu selain melepaskan beberapa komitmen lain walaupun mata kirinya masih belum sembuh sepenuhnya.
“Sepatutnya kena buat pembedahan. Tapi sebab nak beraya, jadi saya tunda dahulu. Tulang mata masih lagi patah walaupun luka luaran sudah sembuh.
“Pandangan mata kiri pun masih kabur lagi. Selepas komitmen kerja saya selesai, baru saya akan lakukan pembedahan segera,” jelasnya.
Pada2 Mac lalu, Fasha telah dikejarkan di sebuah hospital di selatan tanah air selepas mengalami kecederaan pada mata kirinya apabila terhentak pada bucu katil sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama bersama pelakon, Azhan Rani.
Akibat insiden tersebut, Fasha mengalami patah tulang mata kiri selain pendarahan bebola matanya, bengkak. – KOSMO! ONLINE