PETALING JAYA – “Walaupun Tun Dr. Mahathir Mohamad banyak berkhilaf dengan Pas, namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajipan agama, bangsa dan negara bersama Islam”.
Demikian kata-kata yang dikongsikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Katanya, titik persefahaman dengan bekas perdana menteri itu wajib diambil kira untuk menyatupadukan orang Islam dan Melayu selain membangunkan politik bersih di negara ini.
Terdahulu, Abdul Hadi antara pemimpin Pas yang dilaporkan menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Mahathir ketika bertemu dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air itu di rumahnya kelmarin.
Menurut beliau, perbincangan antara lain menyentuh wajibnya perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti masyarakat majmuk.
Jelasnya, perpaduan bangsa Melayu yang menjadi tonggak Islam dalam negara ini wajib dilaksanakan bagi mengukuhkan kekuatan Islam.
“Pas menyeru para pemimpin Melayu Islam untuk menyatukan kaumnya bukan kerana rasis, tetapi meletakkan kuasa politik ke landasan yang betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman.
“Kalau dibiarkan, Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE