PHNOM PENH – Seperti dijangka, skuad bola sepak wanita Malaysia menerima pengajaran berharga selepas tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Army itu, skuad Malaysian Tigress kendalian Soleen Al Zoubi itu membariskan kesebelasan terbaik terdiri daripada kapten, Steffi Sarge Kaur, Henrietta Justine dan Lyana Soberi.
Namun, pasukan Vietnam tidak menunggu lama untuk mendahului apabila meraih gol awal hasil jaringan luar kotak penalti yang dilakukan oleh Hai Yen Pham seawal minit ke-4.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad negara memperkemaskan corak permainan tetapi sekali lagi akur dengan kekuatan pasukan Naga Emas wanita itu yang meledak gol kedua hasil jaringan Thi Bich Thuy Nguyen pada minit ke-23.
Vietnam seperti mahu mengesahkan tiga mata berharga lebih awal dengan menjadikan kedudukan 3-0 sebelum tamat babak pertama dengan Nhu Huynh menjadi pemain ketiga meledak gol berselang 11 minit kemudian.
Soleen mengambil keputusan untuk merombak kesebelasan utama pada babak kedua tetapi Vietnam ternyata lebih hebat dengan tidak memberi sebarang ruang dan peluang buat skuad negara melakukan serangan.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat dengan aksi kedua Malaysia selepas ini adalah menentang Filipina di venue yang sama pada Sabtu. – KOSMO! ONLINE