PARIS – Lionel Messi bakal berdepan hukuman penggantungan perlawanan oleh Paris Saint-Germain (PSG) berikutan tindakan penyerang itu berkunjung ke Arab Saudi tanpa mendapat kebenaran kelab.
Kapten Argentina yang mejulang Piala Dunia itu bakal tamat kontrak hujung musim ini digantung beberapa hari dan media di Perancis turut melaporkan Messi juga bakal disisihkan untuk beraksi dalam tempoh dua minggu.
“Dia (Messi) tidak boleh menjalani latihan, bermain dan tidak akan dibayar ketika menjalani hukuman disiplin,” kata sumber.
Menurut laporan sumber kelab itu mendakwa bahawa pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu mungkin diketepikan dua minggu sambil menegaskan tiada sesiapa lebih ‘besar’ daripada kelab.
Messi yang berusia 36 tahun pada Jun depan beraksi ketika PSG tewas 1-3 kepada Lorient dalam aksi Ligue 1 pada Ahad lalu.
Selepas kekalahan tersebut, Messi membuat keputusan untuk berkunjung ke Arab Saudi bagi memenuhi komitmennya sebahagian kontrak dengan pejabat pelancongan negara itu. Tindakan tersebut menyebabkan Messi terlepas sesi latihan pada Isnin lalu.
Jika benar Messi diketepikan dua minggu ini bermakna pemain Argentina tersebut juga tidak boleh beraksi menentang Ajaccio di tempat sendiri pada 13 Mei nanti.
Tindakan disiplin itu bermakna peluang Messi kekal di ibu kota Perancis itu selepas tempoh kontraknya tamat penghujung musim ini tampak tipis.
Messi telah menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan musim ini dan prestasinya sejak membawa Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar merosot seiring dengan prestasi PSG. – AGENSI