‘BERKACA’ juga anak mata saat menonton naskhah terbaharu Marvel berjudul Guardians of the Galaxy (GOTG) Vol. 3.
Ada banyak perihal yang diadunkan dengan sempurna dalam filem kali ini. Dari sudut lelucon, emosi, nilai setiakawan, aksi dan bahkan, kesan visual semuanya berada dalam posisi yang layak ditaburkan pujian.
James Gunn selaku sutradara tahu benar posisinya sebagai pengarah dan ‘DNA’ Guardian of the Galaxy terus berkembang menjadi sebuah francais filem yang memberi signifikan pelbagai kepada audiens.
Semuanya ditulis dengan baik, namun ada beberapa babak ‘lompong’ yang kadangkala boleh menguap dibuatnya, namum itu tidak mengapa.
Filem kali ini secara peribadi dirasakan menyuburkan semangat persahabatan atau setiakawan tahap yang tertinggi.
89P13 atau Rocket Raccoon adalah MVP (most valuable primate) untuk karya kali ini. Watak lakonan suara Bradley Cooper itu benar-benar mengesankan.
Sedikit ‘spoiler’, Rocket berdepan ‘sesuatu’ disebabkan High Evolutionary (Iwuji). Disebabkan kemahiran minda Rocket, Iwuji ingin mendapatkannya untuk suatu urusan yang memberi dampak kepada seluruh galaksi.
Daripada situ, timbulnya semangat setiakawan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.
Dari segi perkembangan karakter, ada banyak perkara baharu yang membuatkan adrenalin penonton mencanak.
Lakonan Will Poulter sebagai Adam Warlock juga fokus penting dalam GOTG Vol. 3. Ada ‘u turn’ berkaitan watak tersebut yang membuatkan audiens tertawan hati dengannya. Apakah ‘u turn’ yang dimasukkan? Itu perlu ditonton sendiri.
Tidak terkecuali, Sylvester Stallone sebagai Stakar Ogord juga membuatkan penonton tidak senang duduk walaupun tidak dikembangkan selayaknya.
Satu perkara yang pasti, betapa GOTG menyanjung tinggi semangat ‘kemanusiaan’. Tidak kira manusia, haiwan atau pihak yang pernah berpaling tadah daripada kebaikan diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
Dalam banyak-banyak babak, ketika Rocket bangkit daripada ‘kematian’ dan menyedari betapa dia disayangi para sahabat membuatkan air mata hampir bercucuran. Terbaiklah GOTG Vol. 3.