PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan segala gesaan dan desakan supaya Lim Guan Eng kembali meneraju kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai khabar angin.
Menurutnya, DAP juga tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai perkara tersebut.
“Saya tak terima apa-apa gesaan, itu mengikut khabar angin sahaja, saya tak tahu itu daripada siapa.
“Dikatakan ada tiga ADUN, tapi saya tak pernah terima apa-apa memorandum atau pun mana-mana surat daripada mana-mana ADUN,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan terdapat desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow daripada kembali memegang jawatan itu selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Perancang dikatakan mahu Pengerusi DAP tersebut kembali menerajui kerajaan negeri dan antara yang mendesak agar Guan Eng membuat kemunculan semula di Pulau Pinang ialah tiga ADUN yang enggan dinamakan. – KOSMO! ONLINE