fbpx

Teknologi baharu punca 83 juta pekerjaan pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juruwang bank adalah pekerjaan yang diramal hilang kerana digantikan oleh teknologi. - AFP

BERN – Sebanyak 83 juta pekerjaan diramal pupus di peringkat global dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kerani bank, pos, juruwang, setiausaha dan jawatan lain digantikan oleh teknologi baharu, demikian menurut ramalan penganalisis di Forum Ekonomi Dunia (WEF), seperti dilaporkan portal berita MailOnline.

Pada masa sama, sebanyak 69 juta pekerjaan akan diwujudkan dalam industri baharu seperti kepintaran buatan (AI) dan robotik, namun ia merupakan kehilangan sebanyak 14 juta pekerjaan atau dua peratus daripada tenaga kerja global semasa.

Pengarah Urusan kumpulan kajian itu, Saadia Zahidi berkata, mesin semakin mampu menjalankan tugas yang dilakukan oleh manusia, manakala enam daripada 10 pekerja perlu kembali menjalani latihan untuk mereka kekal berada dalam pasaran kerja.

“Ia akan menambah lebih banyak ketidakpastian bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia yang menyaksikan kehidupan mereka terancam atau tertekan akibat pandemik Covid-19 serta perubahan geopolitik dan ekonomi,” katanya.

Saadia turut menggesa kerajaan-kerajaan dan perniagaan untuk menyokong anjakan kepada pekerjaan masa depan dengan melancarkan skim baharu untuk membantu pekerja dengan struktur sokongan pendidikan, kemahiran semula dan sosial yang lebih baik.

Penyelidik-penyelidik forum itu menganjurkan mesyuarat tahunan para pemimpin perniagaan di Davos, Switzerland, dengan mengumpulkan perspektif daripada 803 syarikat yang menggaji lebih daripada 11.3 juta pekerja untuk menghasilkan kajian setebal 296 halaman.

Menurut kajian serupa, juruwang bank dan kerani adalah yang pertama dalam senarai bakal kehilangan pekerjaan, manakala kerjaya lain yang berisiko termasuk kerani pos, juruwang, penjual tiket, kumpulan kemasukan data, setiausaha serta kerani penyimpanan stok, perakaunan, simpan kira dan gaji.

Sementara itu, pekerjaan yang paling pesat berkembang adalah pakar dalam bidang AI, pembelajaran mesin, penganalisis data, risikan perniagaan, keselamatan maklumat serta jurutera program komputer dan robotik. 

Industri-industri tersebut boleh berkembang sebanyak 30 peratus setiap tahun sehingga 2027, kata penyelidik dalam laporan berjudul Masa Depan Pekerjaan itu. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI