SHAH ALAM – Kegiatan haram penjualan organ tidak wujud di negara ini kerana aktiviti pemindahan organ dikawal rapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya pengkomersialannya hanya dilaporkan berlaku di luar negara.
Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Dr. Hasdy Haron berkata, di Malaysia, banyak kes penjualan organ telah dilaporkan, namun siasatan polis berakhir dengan tiada kegiatan itu berlaku di negara ini.
“Kekurangan penderma organ menyebabkan terdapat tanggapan wujudnya kegiatan pasaran gelap penjualan organ untuk dibeli dalam kalangan individu yang memerlukannya. Namun, tiada aktiviti sebegitu di negara ini.
“Malaysia telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Traficking and Tourism Transplant pada 2008 iaitu organ untuk transplantasi perlu diagihkan secara saksama dan komersialisasi transplantasi organ dilarang,” katanya kepada Kosmo!.
Dr. Hasdy memberitahu, pemindahan organ bukanlah sesuatu yang mudah kerana pengurusan masa amat penting berikutan setiap organ mempunyai tempoh ketahanan berlainan.
Contohnya, jantung dan paru-paru perlu segera dipindahkan kepada penerima dalam tempoh empat hingga enam jam selepas saluran darah utama penderma diikat.
“Hati pula melibatkan tempoh lapan hingga 12 jam sementara buah pinggang adalah 24 jam,” ujarnya.
Mengulas berkaitan stigma segelintir masyarakat bahawa penerima organ didahulukan kepada golongan berada atau mempunyai kedudukan tertentu, Dr. Hasdy menjelaskan, urutan penerima dibuat secara telus serta mempunyai kriteria tertentu.
“Contohnya kesesuaian iaitu jenis darah yang sama, tisu sama. Kalau terima organ asing, imun sistem akan menolak.
“Kriteria juga memfokuskan julat masa seseorang itu berada dalam senarai menunggu selain keseriusan keadaan penerima,” katanya.
Jelasnya, apabila selesai melakukan transplan adalah mengkehendaki penerimanya mengambil ubat anti-penolakkan sepanjang hayat dan diberikan percuma kepada mereka yang melakukan transplan dalam negara.
“Kita mempunyai rekod dan mengetahui mereka yang membuat transplan di luar negara.
“Mereka (yang membuat pemindahan organ di luar negara) perlu membeli ubatan yang berharga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Ubatan ini hanya boleh diberikan oleh hospital kerajaan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, setelah hampir 47 tahun, penderma organ selepas kematian di negara ini hanya 811 individu berbanding jumlah menunggu kini 10,077 orang.
Berita berkaitan: 47 tahun kempen derma organ, hanya 811 menderma