BANGKOK – Seorang pelajar sekolah rendah di Thailand menyimpan duit syiling di dalam sebuah peti besi kecil untuk membeli cincin emas buat ibunya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Video memaparkan kanak-kanak lelaki itu membawa peti besi tersebut ke sebuah kedai emas dimuat naik dalam akaun TikTok @zumo442.
Budak lelaki tersebut membawa peti besi itu ke kedai emas dipanggil Phutthasilp Goldsmith yang terletak di dalam Kompleks Thai di Mueang Mahasarakham, wilayah Mahasarakham.
Setelah peti besi itu dibuka di hadapan ibunya, kelihatan beberapa bungkus duit syiling disimpan kemas di dalam plastik.
Dia kemudian menyuruh ibunya memilih cincin di kedai tersebut sebelum menyarungnya pada jari wanita itu.
Orang ramai memuji tindakan budak lelaki itu dan mendakwa dia layak menerima pengiktirafan sebagai remaja yang boleh dicontohi. – Agensi